Panduan
4
 minit bacaan

Rumah Sewa Rosak? Tanggungjawab Siapa?

Kerosakan rumah sewa sering menjadi isu perselisihan faham antara pemilik dan penyewa. Ketahui tanggungjawab masing-masing dalam sewaan rumah.
Ditulis oleh
Fikry Zulkifly
Tarikh dikemaskini
20/5/2024

Isu kerosakan rumah sewa merupakan isu yang agak 'common' di dalam kalangan rakyat Malaysia. Isu ini sering menimbulkan kekeliruan sekaligus mampu mencetuskan perselisihan faham sama ada kecil atau besar.Ketiadaan akta yang tepat di dalam perundangan menyebabkan berlaku kekeliruan tanggungjawab. Penting untuk kita mengetahui tanggungjawab masing-masing sama ada sebagai penyewa mahupun pemilik.

Jadi , bagaimana kita boleh mengetahui tanggungjawab penyewa dan pemilik ?

Jom kita tengok step paling penting di bawah

1.Semak Perjanjian Sewa Rumah

Perjanjian sewa rumah atau perjanjian penyewaan (tenancy agreement) adalah kontrak yang sah dari segi undang-undang di antara penyewa dan tuan rumah.Perjanjian ini perlu mengandungi setiap sudut aspek penting, termasuklah tanggungajawab tuan rumah dan penyewa dalam kerja-kerja pembaikian kerosakan.

Selalunya jika anda pemilik melantik Ejen hartanah , merekalah yang akan menerangkan kepada penyewa tanggungjawab masing-masing semasa hari penyerahan kunci dan tandatangan perjanjian.
Jika sebaliknya, anda sebagai pemilik yang perlu menerangkan satu-satu klausa yang mengandungi tanggugjawab pemilik untuk mengelakkan pertikaian di kemudian hari.

Anda boleh minta Ejen Hartanah anda contoh draft perjanjian untuk menyemak klausa dan terma-terma berkaitan.

2.Tanggungjawab Tuan Rumah (General)

Secara amnya, Tuan rumah bertanggungjawab terhadap kerosakan yang disebabkan 'wear and tear', rosak akibat dimamah usia atau apa-apa kerosakan yang melibatkan keselamatan penyewa anda dan harta benda di dalamnya.

Sebagai contoh, kerosakan paip air utama ,kebocoran simen lantai atau sebarang kerosakan 'wear and tear' yang bukan disebabkan penyewa.Lagi-lagi rumah baru yang masih dalam warranty, anda sebagai tuan rumah perlu memohon Pihak management dan pemaju untuk membaiki kerosakan rumah.

Juga penting sebagai tuan rumah,segala kerosakan yang anda dapati perlu dibaki sebelum penyewa anda pindah masuk.Jika anda sudah membaiki dan penyewa anda sudah tinggal sekian waktu dan masih berlaku lagi , anda boleh :

  • Minta penyewa perbaiki sendiri kerosakan tersebut terlebih dahulu dan kemudian tuntut semula wang daripada tuan rumah
  • Tuan rumah membaiki sendiri kerosakan tersebut
  • Tunggu sehingga tamat tempoh sewaan (sekiranya tidak serius)

Tuan rumah juga perlu menyenaraikan secara bertulis sebarang peralatan atau perabot yang disediakan di dalam rumah sewa tersebut.

Seterusnya, sebelum penyewa masuk untuk menghuni, tuan rumah perlu mengambil rekod bergambar atau video bagi keadaan dalaman dan semua item-item yang ada di dalam rumah tersebut.

Ini diperlukan bagi menentukan sama ada sebarang perubahan atau kerosakan berlaku ketika penyewa sudah menghuni rumah tersebut.

3.Tanggungjawab Penyewa

Kerosakan yang berada di bawah tanggungjawab penyewa dinyatakan di dalam perjanjian penyewaan. Secara amnya, penyewa bertanggungjawab dalam pembaikan kerosakan-kerosakan kecil dan kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan harian mereka.Tak dilupakan juga, penyewa perlu membaik apa-apa kerosakan akibat kecuaian sendiri .

Ini termasuklah:

  • Kerosakan disebabkan haiwan peliharaan
  • Mentol/bulb lampu terbakar
  • Extension elektrik rosak
  • Perkakas dapur atau elektrik kecil rosak
  • Karpet kotor
  • Bau rokok atau lain-lain bau di dalam rumah
  • Kaki kerusi/meja patah
  • Kerosakan-kerosakan yang diabaikan dalam tempoh masa yang lama tanpa sebarang laporan kerosakan dibuat, yang akhirnya membawa kepada kerosakan yang lebih besar.

Seperti juga tuan rumah, pihak penyewa perlu mempunyai rekod bergambar atau video bagi keadaan dalaman dan semua item-item yang ada di dalam rumah tersebut sebelum, semasa, dan selepas menghuni rumah tersebut.

4.Tuntutan Undang-Undang

Tuan rumah boleh minta penyewa untuk menanggung kos pembaikian sekiranya ia dinyatakan secara jelas dalam perjanjian sewa rumah bahawa sebahagian pembaikian kerosakan adalah di bawah tanggungjawab penyewa.

Pihak tuan rumah boleh menggunakan deposit sekuriti sekiranya pihak penyewa gagal atau tidak bersetuju untuk menampung kos pembaikan tersebut.

Sekiranya kos pembaikan kerosakan tersebut melebihi deposit sekuriti, tuan rumah boleh failkan tuntutan melalui mahkamah tentang kos-kos yang anda terpaksa tanggung disebabkan penyewa.

Bagi tuntutan kecil tidak melebihi RM5,000, ia boleh dibuat di Mahkamah Tuntutan Kecil melalui Aturan 93 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 – Tatacara Tuntutan Kecil.

Bagi tuntutan yang lebih besar, tuan rumah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat peguam.

5.Kepentingan Komunikasi

Kebanyakan isu pertikaian berkaitan siapa yang patut perbaiki sesuatu kerosakan boleh diselesaikan dengan mudah melalui komunikasi yang baik antara penyewa dan tuan rumah dan perjanjian hitam putih melalui kontrak sewa rumah.

Terma-terma di dalam sebuah perjanjian sewaan sebenarnya boleh dirunding maka kedua-dua belah pihak, baik penyewa mahupun tuan rumah perlu berkomunikasi dengan baik mengenai apa yang perlu dimasukkan di dalam perjanjian tersebut.

Mereka juga boleh berunding dengan pihak peguam untuk menilai perjanjian tersebut sebelum menandatanganinya.

Bonus :

Di bawah ini disertakan contoh tanggungjawab penyewa yang anda sebagai tuan rumah boleh sertakan di dalam perjanjian sewaan.